23 Jun 2021, Shah Alam – Kempen terkini Selangor E-Bazar – Kempen Selangor E-Bazar Raya yang diadakan dari 15 April sehingga 29 Mei 2021 telah mencatatkan hasil yang memberangsangkan dengan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM954 juta kepada ekonomi Selangor termasuk jualan terus bernilai RM65 juta.
Kerajaan Selangor telah menyalurkan RM2 juta sebagai baucar subsidi untuk kempen Selangor E-Bazar Raya yang menyaksikan penyertaan 22,049 peniaga e-dagang baharu dan telah memanfaatkan 134,025 peniaga e-dagang secara keseluruhan.
Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 76% daripada sasaran awal iaitu 12,500 peniaga e-dagang baharu yang dijangka menyertai kempen ini. Ini juga menunjukkan lebih ramai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) telah mendapat manfaat daripada kempen ini.
Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kempen Selangor E-Bazar Raya telah memastikan agar penjual Selangor menjadi pilihan utama pelanggan dalam memenuhi bekalan dan keperluan isi rumah seperti makanan, perabot dan peralatan sukan.
Kempen tersebut juga membantu PKS menjana hasil jualan ketika PKP dengan memenuhi keperluan pengguna untuk menikmati sambutan perayaan yang sederhana.
Adalah jelas bahawa e-dagang memainkan peranan yang penting dalam corak pembelian harian pengguna. Sebagai contoh, mentega kacang merupakan salah satu daripada 10 produk yang paling laris dijual dan ini menunjukkan pengguna telah menyesuaikan diri dengan membeli-belah atas talian di dalam keadaan norma baharu.
Kempen tersebut diselaraskan oleh Invest Selangor dan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) dengan kerjasama Shopee dan Lazada – dua platform e-dagang paling digemari di Malaysia.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kempen Selangor E-Bazar telah sekali lagi membuktikan peniaga yang mendigitalisasikan perniagaan mereka telah mendapat pulangan yang lumayan.
“Hasil terkini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 163% untuk jualan terus dan 139% peningkatan kesan riak kepada ekonomi Selangor berbanding dengan sasaran awal yang dibuat.”
Katanya, Selangor berbangga menjadi kerajaan negeri pertama yang melancarkan inisiatif baucar e-dagang dalam membantu PKS negeri untuk menghadapi cabaran Covid-19.
“Kita telah mengadakan 4 kempen E-Bazar, iaitu E-Bazar Raya 2020, E-Bazar 11.11 Mega Sales, E-Bazar CNY 2021 dan E-Bazar Raya 2021.
“Dengan pelaburan RM7 juta oleh kerajaan negeri, empat pusingan kempen tersebut telah menghasilkan jualan terus berjumlah RM144.7 juta dan mewujudkan kesan riak sebanyak RM2.95 bilion untuk ekonomi negeri Selangor.
“Terdapat 294,119 penjual, termasuk 74,837 penjual baharu, yang telah mendapat manfaat dari kempen-kempen ini. Ini membolehkan ekonomi negeri terus bergerak sambil mewujudkan saluran penjualan alternatif agar perniagaan tempatan dapat bertahan, terutama di bawah pelbagai sekatan akibat wabak Covid-19.”
Sementara itu, Exco Industri dan Perdagangan Selangor Dato’ Teng Chang Khim berkata kerajaan negeri amat berbangga kerana lebih ramai peniaga baharu telah menerokai bidang e-dagang melalui kempen terkini.
Teng berkata bahawa hasil kempen Selangor E-Bazar Raya telah menunjukkan bagaimana e-dagang telah menjadi platform utama dalam membantu PKS untuk terus bertahan dan memastikan ekonomi tetap terbuka sambil memastikan semua orang selamat di rumah.
“Di bawah sekatan akibat Covid-19, kita terpaksa menerapkan ekonomi sentuhan rendah atau ‘low touch economy’. Walaupun keadaan semakin pulih melalui program vaksinasi, e-dagang menyediakan platform yang praktikal dan selamat untuk perdagangan,” kata Teng.
Antara kategori jualan paling popular untuk kempen ini ialah barangan rumah serta kesihatan dan kecantikan, barang runcit dan berkaitan haiwan serta automotif.
“Terdapat peningkatan permintaan untuk pembelian makanan secara atas talian, selari dengan peningkatan kes baharu Covid-19 pada bulan Mei.
“Oleh kerana peningkatan jumlah kes, terdapat peningkatan permintaan untuk cecair pembasmi kuman, pelitup muka, ubat-ubatan dan produk penjagaan diri,” tambah Teng.
Terdapat juga peningkatan permintaan dalam barangan automotif yang kemungkinan besar disebabkan oleh pengguna yang terpaksa melakukan servis dan penjagaan kereta mereka sendiri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Lazada Malaysia Darren Rajaratnam berkata kunci pemulihan ekonomi terletak pada pendigitalan dan perkembangan PKS.
“Kami sangat berbesar hati untuk sekali lagi bekerjasama dengan Kerajaan Selangor dalam membantu lebih banyak PKS untuk melakukan digitalisasi.
“Ini bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara, tetapi digitalisasi juga membuktikan bahawa ia merupakan aspek yang penting untuk PKS dalam mencapai kelestarian.
“Oleh itu, kami akan terus fokus dan memberi sokongan penuh kepada PKS tempatan dalam membantu urusan mendigitalisasikan perniagaan mereka melalui pakej dan program rangsangan kami.”
Sementara itu, Shopee telah menyokong kempen Selangor E-Bazar Raya dengan baucar untuk para penjual melalui RM1 juta yang disalurkan kerajaan negeri.
Untuk memastikan kempen tersebut mendapat pendedahan yang mencukupi, Shopee telah menambah sumbangan yang sesuai dalam bentuk sokongan pemasaran dalam aplikasi dan melalui media sosial, Shopee Live dan banyak lagi.
Shopee juga menyokong kempen tersebut dengan lebih banyak baucar yang memberi keuntungan kepada penjual negeri dan juga pembeli.
Usaha ini membantu mendorong jualan untuk penjual tempatan dengan meningkatkan Purata Saiz Bakul pembeli kepada RM147.
Pengurus Kanan (Pemasaran) Shopee Kenneth Soh berkata, “Kami berbangga dapat membantu kerajaan Selangor sekali lagi dalam mendigitalisasikan ekonomi negeri melalui kempen Hari Raya mereka yang telah menyaksikan hasil yang memberangsangkan.
“Bagaimanapun, kerja kami tidak berakhir di sini. Walaupun kempen telah berakhir, kami akan terus menawarkan kelas Shopee University untuk penjual baharu agar mereka terus meningkatkan kemahiran mereka sendiri.
“Tujuan kami adalah untuk membantu penjual baharu ini untuk bertahan dalam jangka masa yang panjang.”
Sementara itu, dalam memastikan lebih banyak PKS didedahkan kepada e-dagang lebih-lebih lagi disebabkan sekatan akibat Covid-19, Amirudin melancarkan platform Sidec TV yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada mereka yang ingin menceburi bidang e-dagang atau memulakan perniagaan melalui video-video berkaitan e-dagang terutamanya kepada bakal usahawan dan usahawan yang sedia ada.
Video-video yang dikumpul adalah hasil rakaman daripada ratusan kelas e-dagang yang dianjurkan oleh Sidec sejak penubuhannya pada tahun 2015.
Bagi tujuan mempromosikan platform Sidec TV, Sidec telah bekerjasama dengan pihak Media Selangor untuk menghebahkan video-video ini yang bakal menjadi tatapan umum tidak lama lagi.
Platform ini adalah untuk mendorong para usahawan untuk belajar secara kendiri dan sangat sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai kelapangan untuk menghadiri kelas fizikal.
Sila layari https://www.sidec.com.my/sidectv/ untuk menimba ilmu berkaitan e-dagang.