26 Januari 2021, Shah Alam – Kerajaan negeri Selangor akan melancarkan Kempen Selangor E-Bazar Tahun Baru Cina (CNY) yang akan berlangsung dari 1 Februari sehingga 7 Mac 2021.
Untuk kempen ini, kerajaan negeri akan menyalurkan RM2 juta dalam bentuk baucar kepada dua platform paling popular untuk jualan atas talian di Malaysia – Shopee dan Lazada.
Kempen ini yang diselaraskan bersama oleh Invest Selangor Berhad dan Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC) Sdn Bhd menyasarkan penyertaan 25,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perniagaan mikro, termasuk 12,500 penjual baharu.
Seperti kempen Selangor E-Bazar sebelum ini, kempen ini bertujuan untuk membantu PKS dan perniagaan mikro menerapkan digitalisasi dalam perniagaan mereka untuk terus bertahan dalam situasi ekonomi yang mencabar pasca pandemik Covid-19.
Selain memberi manfaat kepada perniagaan, kempen ini juga akan menyediakan platform yang selamat untuk pengguna membeli pelbagai barangan dengan harga yang berpatutan secara atas talian.
Adalah diharapkan agar keadaan ini akan meneruskan semangat Tahun Baru Cina dan walaupun keadaan mungkin tidak begitu mengizinkan, kita seharusnya tetap meraikan tahun baru ini dengan semangat yang tinggi.
Exco Industri dan Perdagangan YB Dato’ Teng Chang Khim berkata bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua ini lebih-lebih lagi memerlukan perniagaan untuk mendigitalisasikan perniagaan mereka untuk memastikan aliran tunai berterusan.
“Walaupun kita perlu mengamalkan penjarakan sosial untuk memutuskan rantaian Covid-19, kita tidak seharusnya melupakan hubungan kita bersama keluarga dan sahabat handai.
“Kempen Selangor E-Bazar CNY menyediakan platform yang selamat untuk keluarga dan rakan-rakan berbincang mengenai makanan dan barang perayaan. Anda boleh membeli limau mandarin, biskut perayaan serta hamper dan menghantarnya kepada ibubapa serta rakan-rakan di kampung.
“Kita mungkin tidak dapat pulang ke kampung pada tahun ini tetapi membeli hadiah melalui platform E-Bazar menunjukkan bahawa kasih sayang kita kepada ibubapa, keluarga dan rakan-rakan tidak akan terjejas walaupun akibat pandemik Covid-19.
“Kerajaan negeri juga komited dengan agenda digitalisasi membantu PKS, perniagaan mikro dan peniaga untuk mendigitalisasikan perniagaan mereka.
“Dua pusingan kempen Selangor E-Bazar sebelum ini telah menyaksikan jualan terus bernilai jutaan ringgit yang membuktikan bahawa agenda ekonomi digital kerajaan negeri telah membantu para peniaga menjana pendapatan lebih banyak secara atas talian dalam mengharungi cabaran Covid-19.”
Melalui dua pusingan kempen Selangor E-Bazar, PKS telah menghasilkan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta dari baucar bernilai RM3 juta oleh kerajaan negeri Selangor.
Dari SITEC kepada SIDEC
Ditubuh di bawah Urus Setia Invest Selangor, SITEC dipengerusikan oleh Exco Industri dan Perdagangan YB Dato’ Teng Chang Khim. Melalui pembinaan ekosistem digital yang simbiotik, SITEC mensasarkan agar Selangor ditonjolkan sebagai pusat perniagaan dan perdagangan serantau di Asia Tenggara.
Sejak 2015, SITEC telah berjaya menarik penyertaan 650 saudagar e-dagang dan melatih lebih daripada 9,000 IKS dan individu yang berkeinginan untuk melakukan penjualan atas talian melalui program Kelas E-Dagang, Master Class, Online 100 dan Brands 100.
SITEC telah memupuk 90 buah syarikat tunas rintisan dari tiga kumpulan Selangor Accelerator Programme (SAP) serta telah menganjurkan tiga sesi Pitch@Selangor dan melakukan pitching serta lawatan ke Silicon Valley di San Francisco. SITEC juga telah menarik penyertaan seramai 600 peniaga mikro dan IKS pihak berkuasa tempatan di Selangor melalui siri Jelajah Usahawan Digital Selangor.
Lima tahun sejak penubuhannya, SITEC telah berjaya menghasilkan Nilai Dagangan Kasar (GMV) sebanyak RM334.37 juta melalui pelbagai program berimpak tinggi.
Dalam menambah baik pengurusan program-program SITEC, kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan SIDEC Sdn Bhd sebagai sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan.
SIDEC Sdn Bhd berhasrat untuk memacu transformasi digital Selangor sebagai hab digital ASEAN melalui objektif-objektif tersebut:
- Memupuk bakat digital Selangor, mengurangkan jurang digital
- Memacu syarikat tunas rintisan (startups) sebagai ikon teknologi serantau
- Memperkasakan perniagaan Selangor dan pendigitalan PKS
- Menggalakkan pelaburan digital di Selangor dan teknologi baharu